12 Februari 2010

SSRM FELDA JERANGAU - SUATU PENILAIAN SOSIAL

RAKAN MUDA FELDA AJAK BELIA FELDA MENYUMBANG AKTIF KEPADA PEMBANGUNAN NEGARA


FELDA PEMANIS- Satu program "Rakan Muda Belia Felda telah sempurna dilancarkan oleh Y.B. Menteri Belia Dan Sukan Dato' Ahmad Shabery Cheek dan program yang julung-julung kalinya diadakan ini telah berjaya menarik penyertaan dari kalangan pemimpin-pemimpin kanan daerah, belia, pertubuhan , penuntut kolej dan IPT serta penduduk setempat.

Ketika berucap dalam majlis tersebut, Y.B. Menteri berkata, golongan belia Felda seharusnya tidak berasa tersisih atau terpinggir dengan keciciran arus kemodenan kerana golongan belia Felda sebenarnya adalah penyumbang utama kepada KDNK Negara dari hasil keluarannya yang sedia ada. Pengeluaran hasil tersebut telah berjaya menjana berbilion pendapatan negara dan seterusnya meletakkan masyarakat Felda juga berpotensi dalam memberi sumbangan keuntungan kepada negara.

Bagi menzahirkan niat dan iktikad mengangkat martabat para belia Felda, Y.B. Menteri Belia Dan Sukan dengan rasa bangga menyampaikan sumbangan berupa anak benih pokok mangga madu, baka kambing berkualiti dan sejumlah wang untuk persatuan belia Felda disekitar negeri Johor, Pahang dan terengganu dengan harapan sumbangan yang disalurkan akan dapat menjadi inspirasi kepada semua persatuan agar meningkatkan produktiviti dan nilai tambah modal insan di kalangan para belia Felda.

Program yang dianjurkan oleh bahagian Rakan Muda Kementerian Belia & Sukan dengan kerjasama JBSN Johor yang berlangsung dengan gilang-gemilang ini, dimeriahkan lagi dengan pelbagai persembahan oleh para belia dan pelajar sekolah sekitar Negeri Johor. Ketibaan Y.B. Menteri disambut dengan iringan marhaban oleh Qariah Felda Pemanis, persembahan seni silat gayong dan alunan tarian zapin dari pertubuhan Seni Negeri Johor.

Y.B. Dato Ahmad Shabery Cheek seterusnya melawat gerai pameran oleh para belia sambil beramah mesra dengan kehadiran pengunjung seramai lebih daripada 2000 orang terdiri daripada golongan belia dan penduduk sekitar negeri Johor dan Pahang.

Disediakan Oleh : Mohd. Firdaus Mohd. Said, UKK

Petikan Web www.kbs.gov.my