25 April 2010

KERJA-KERJA MENYEDUT PASIR DI PINGGIR PERAIRAN MUZIUM TERENGGANU

PENDUDUK PULAU SEKATI BIMBANG


Team PB2W membuat tinjauan di Jambatan Pulau Sekati

KUALA TERENGGANU - Penduduk Pulau Sekati, di sini, merayu agar pihak yang terbabit melakukan aktiviti menyedut pasir di sungai berhampiran Muzium Negeri menghentikan segera projek itu kerana ia didakwa boleh mengundang masalah besar kepada masyarakat setempat.

Wakil penduduk, Ramli Man berkata, sekiranya projek itu diteruskan, tidak mustahil suatu hari nanti jambatan yang menjadi laluan utama penduduk akan musnah sedangkan ia dianggap sebagai ‘nyawa’ untuk menghubungkan penduduk ke kawasan darat.

“Kami difahamkan tujuan kerja menyedut pasir itu adalah untuk mendalamkan su-ngai bagi kemudahan laluan bot ke jeti muzium. Jarak antara kerja menyedut pasir dengan jambatan itu hanya kira-kira 250 meter sahaja.

“Memang kesannya belum nampak, tetapi untuk jangka masa panjang, terutama pada musim tengkujuh, sudah pasti jambatan yang digunakan setiap hari oleh penduduk untuk ke darat akan hanyut,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Ramli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sini, kehadiran ‘projek tidak diundang’ membuatkan penduduk bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga.

“Sudahlah kami terpaksa berhadapan dengan masalah jambatan yang begitu uzur dan keputusan untuk membina jambatan baru juga masih menjadi tanda tanya.

“Ini ditambah pula dengan kerja menyedut pasir menyebabkan bebanan masalah kami semakin berganda dan tidak mustahil suatu hari nanti, kami terpaksa menggunakan perahu atau bot sebagai penghubung ke darat,” katanya.

Ramli berkata, apa yang membimbangkan penduduk kerana kerja menyedut pasir itu juga telah terlalu hampir dengan kawasan Masjid Pulau Sekati.

“Kami lihat kerja menyedut pasir ini telah merebak sehingga berhampiran masjid dan jaraknya cuma dalam 40 meter sahaja. Keadaan ini menambahkan lagi kerisauan kami di pulau ini,” katanya.

Menurutnya, masalah berkenaan telah diajukan kepada pihak bertanggungjawab, namun sehingga hari ini masih tidak mendapat sebarang tindakan malah dilihat kerja berkenaan semakin rancak.

Dalam perkembangan lain, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail berkata, pihaknya mengakui menerima surat bantahan penduduk setempat mengenai kerja menyedut pasir atas alasan bimbangkan keadaan jambatan sedia ada.

“Kami sendiri telah turun padang melihat keadaan itu dan jika dikaji, dari segi teknikal, bagi kami, kerja menyedut pasir ini tidak akan menjejaskan jambatan tersebut kerana jaraknya dari kawasan kerja beroperasi agak jauh,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Projek Kumpulan Liziz Sdn Bhd, Omar Mohamad, selaku kontraktor yang bertanggungjawab menjalankan projek berkenaan berkata, projek milik Kerajaan Negeri ini bertujuan mendalamkan alur sungai di kawasan itu bagi memberi laluan bot terutamanya River Cruise Taman Tamadun Islam (TTI) ke jeti muzium.

“Kerja itu telah mendapat kelulusan Kerajaan Negeri dan kami hanya dipertanggungjawabkan untuk mendalamkan alur sungai ini bagi kemudahan bot pelancong ke jeti muzium memandangkan kawasan berkenaan agak cetek sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

http://www.sinarharian.com.my/utr/content/story7611613.asp