07 Mac 2010

TAMADUN TERENGGANU

TAMADUN TERENGGANU

06/02/2010 6:50pm

HULU TERENGGANU 6 Feb. – Sekumpulan arkeologis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu yang menjalankan kerja-kerja ekskavasi di Gua Bewah, Tasik Kenyir sejak tiga bulan lepas, menemui rangka manusia yang dipercayai dari zaman Mesolitik.

Timbalan Pengarah Institut Tamadun dan Alam Melayu (Atma) UKM, Prof Datuk Dr. Nik Hasan Shuhaimi Nik Abdul Rahman berkata, rangka manusia zaman Mesolitik yang dipercayai remaja itu dianggar berusia 8,000 hingga 11,000 tahun.

"Rangka prasejarah itu ditemui pada kedalaman 65cm hingga 70cm yang disemadikan dalam keadaan merengkok dan kita telah menghantar sampel DNA (asid deoksiribonukleik) ke Amerika Syarikat untuk dianalisis.

"Keputusannya dijangka diketahui selewat-lewatnya bulan depan," katanya kepada pemberita selepas Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan media melawat ke gua berkenaan di sini hari ini.

Nik Hasan Shuhaimi berkata, penemuan rangka manusia prasejarah ini adalah kali kedua di Tasik Kenyir selepas kali pertama ditemui di Gua Batu Tok Bidan, Tasik Kenyit pada 1975.

Beliau yang mengetuai kerja-kerja ekskavasi bersama Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Mohd. Yusof Abdullah dan 33 anggota cari gali lain berkata, ia adalah penemuan penting sejarah ketamadunan manusia di Malaysia. – Bernama

Sumber daripada utusan online