Konsep 1Belia 1Malaysia perlu diterapkan dalam pergerakan belia di negara ini bagi memastikan mereka menjadi pewaris untuk memupuk dan menyuburkan perpaduan nasional.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahukan para belia sedar bahawa kerukunan yang Malaysia capai selama ini bukanlah sesuatu yang mudah tetapi ia dirintis dengan segala jerih dan kepayahan oleh golongan terdahulu.
Najib berkata, belia adalah penentu rupa wajah Malaysia pada masa depan dengan hakikat kejayaan belia adalah kejayaan negara.
“Langkah yang seribu itu bermula dengan yang satu, Malaysia tidak akan menjadi satu sekiranya belianya tidak berpadu.
“Dari itu, terletak di jemala para belia amanah sebagai pewaris yang sewajarnya meneruskan perjalanan yang mulia ini dengan memupuk dan menyuburkan perpaduan nasional yang dibina, jika tidak segala apa yang kita bangunkan akan hancur dan ranap begitu saja,” katanya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mencabar golongan belia supaya tidak sekadar berpuas hati berada di gerigi peristiwa sebaliknya bersama-sama untuk mencipta sejarah.
Najib turut mengajak belia berganding bahu dalam pentadbirannya untuk bertindak sebagai pelaku-pelaku aktif dalam membawa pembaharuan dan perubahan ke arah mencipta Malaysia yang diimpikan.
“Saya amat yakin sebagai orang muda, saudara dan saudari tentunya mempunyai banyak idea untuk dikongsi dalam menjana pembangunan negara,” katanya.
Beliau juga menyarankan agar ruang dialog yang lebih luas antara belia dan kepimpinan tertinggi negara bagi memahami keperluan dan kehendak golongan itu.
Tambahnya, pendapat mengatakan bahawa hanya kerajaan mengetahui apa yang baik untuk golongan belia sudah jauh ketinggalan.
“Lantas untuk memahami aspirasi dan denyut nadi belia, kerajaan kini lebih bersedia menjadi pendengar yang baik dan mempunyai empati terhadap sudut pandangan, keluh kesah, rintihan, pendapat serta saranan saudara dan saudari sekalian,” katanya.
Pada masa sama beliau meminta agensi kerajaan yang berurusan dengan golongan belia mengkaji semula pendekatan mereka agar tidak bersifat menghakim dan menghukum sebaliknya memahami apakah cita rasa golongan muda.
“Turunlah padang dan dengarlah suara-suara belia akar umbi dan tidak sekadar menunggu mereka untuk datang berjumpa dengan kita,” katanya..
Sumber: Utusan Malaysia Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan