12 Ogos 2009

KENALI KOR DALAM TENTERA DARAT ANDA

Kor Risik Diraja tugasan unik dan tersendiri
















Oleh: JABATAN ARAH RISIK ATM (link)

KOR Risik Diraja (KRD) merupakan salah satu kor yang ditubuhkan secara rasminya dalam Tentera Darat (TD) pada 7 November 1969.

Sejarah awal kor ini bermula apabila Parti Komunis Malaya (PKM) melancarkan dasar ketenteraan dan merancang pemberontakan bersenjata bagi membentuk Republik Komunis Malaya pada bulan Mei 1947.

PKM telah menubuhkan unit gerila untuk melancarkan keganasan di Tanah Melayu yang dikenali sebagai Malayan Races Liberation Army (MRLA).

Bagi menangani masalah itu, Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya, Sir Edward Gent telah mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu pada bulan Jun 1948.

Setelah sebulan darurat diisytiharkan, PKM melancarkan perjuangan bersenjata dengan melakukan serang hendap ke atas pasukan keselamatan dan sabotaj kepada beberapa prasarana kepentingan negara.

Pada tahun 1953, keadaan menjadi semakin memuncak.

Pentadbiran Inggeris mulai sedar tentang keperluan perisikan dalam usaha membanteras perjuangan bersenjata PKM.

Serentak dengan itu, seorang anak watan, Prebet Hashim Rauf telah diserapkan ke HQ 355 Field Security Section (FSS), Bahagian Risikan Tentera British yang diketuai oleh Leftenan Muda E.A. Atkinson.

Beliau telah menunjukkan potensi yang baik sehingga berjaya meyakinkan pihak Inggeris dan seterusnya menggalakkan mereka merekrut lebih ramai anak tempatan.

Sekumpulan pegawai tidak tauliah (PTT) daripada Rejimen Askar Melayu, Rejimen Kereta Perisai Persekutuan dan Jurutera Persekutuan telah ditempatkan di HQ 355 FSS untuk dilatih dalam seksyen perisikan.

Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, HQ 355 FSS disusun semula dan dikenali sebagai Federation Field Security Section (FFSS).

Seksyen tersebut diletakkan di bawah pemerintahan Markas Tentera Persekutuan di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Setahun kemudian, Markas Tentera Persekutuan berpindah ke Kementerian Pertahanan dan FFSS telah diserapkan ke dalam pasukan Polis Tentera Persekutuan (FMP).

Pada tahun 1959, atas sebab perbezaan tugas di antara FMP dan FFSS, organisasi FFSS diubahsuai dan diletakkan di bawah Malayan General Service Corp (MGSC-Int.).

Pada awal tahun 1959, pembesaran FFSS mula dirancang.

Pihak Inggeris telah memanggil seramai 14 pegawai perhubungan awam rendah (JCLO) yang bertugas dengan cawangan khas (SB) Polis Persekutuan Tanah Melayu bagi melaksanakan kerja perisikan di medan.

Sempena pengisytiharan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, MGSC-Int. diubah nama kepada Unit Risikan Pertahanan.

Kementerian Pertahanan juga telah menyusun semula Bahagian Gerakan, Rancang dan Perisikan yang pada masa itu diketuai oleh Leftenan Kolonel Bill Fargos.

Kekuatan anggota MGSC-Int. ketika itu ialah seramai 35 orang.

Pada bulan November 1963, jawatan Pegawai Staf 1 Bahagian Gerakan, Rancang dan Perisikan diambil alih oleh pegawai tempatan dan diberi nama baru, iaitu Jabatanarah Perisikan Bersama (JPB) yang dirasmikan pada 2 Mac 1965.

Pada awal tahun 1966, tiga pertubuhan unit perisikan yang berfungsi tanpa pemerintahan dan kawalan dari mana-mana organisasi ditubuhkan iaitu Penasihat Pertahanan Tentera, Anggota Tentera Cawangan Khas dan Jawatankuasa Sempadan.

Pengisytiharan penubuhan Kor Risik telah disempurnakan oleh Jeneral Tengku Osman Tengku Mohd. Jewa pada 7 November 1969.

Serentak itu, semua organisasi unit perisikan di dalam angkatan tentera telah disatukan di dalam satu kor.

Sejak penubuhan tersebut, organisasi dan peranan KRD sentiasa diperluaskan sejajar dengan keperluan semasa TD dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


"PINTAR DAN CERGAS"


Tiada ulasan: