29 Mei 2008

BELIA CEMERLANG NEGARA TERBILANG

15 RIBU SAMBUT HARI BELIA NEGARA 2008

15/5, Bukit Jalil – “Kerajaan akan memberi perhatian khusus kepada golongan belia agar mereka berupaya tampil sebagai individu cemerlang, terbilang dan gemilang dengan menerima pendidikan yang terbaik” kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapannya di Perhimpunan Hari Belia Negara 2008 di Stadium Putra Bukit Jalil hari ini .

Menurut beliau, golongan belia ini akan diberi peluang sepenuhnya mengikut kursus-kursus dalam bidang yang dikehendaki oleh sektor swasta agar mereka mudah memperoleh peluang pekerjaan sebaik tamat persekolahan.
Tambah beliau lagi, belia harus terus berusaha dengan membawa imej negara kerana belia merupakan pemimpin di masa hadapan. Seramai 15,000 orang belia daripada 40 gabungan pertubuhan di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM) dan belia-belia negara hadir menyertai Perhimpunan Belia Negara 2008 sempena Hari Belia Negara 2008 yang bertemakan Belia Cemerlang Negara Terbilang. Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan dalam sidang media selepas majlis perhimpunan itu beliau akan mengarahkan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia (IPPBM) untuk mengkaji semua program-program yang telah dianjurkan oleh KBS termasuk Rakan Muda.

“Langkah ini bertujuan untuk meneliti sesudah program dilaksanakan sama ada memberikan kesan positif kepada belia,” katanya yang dalam usaha untuk mengubah ritual sambutan Hari Belia Negara pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya”. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan; YB Datuk Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Menteri Belia dan Sukan; Wee Jeck Seng, Presiden Belia 4B; Datuk Ali Rustam dan Presiden Majlis Belia Malaysia; Datuk Shamsul Anuar Haji Nasarah. Selain Perhimpunan Belia, antara program yang disediakan sempena sambutan Hari Belia Negara 2008 adalah Karnival Remaja dan Sukan, pameran dan jualan, persembahan pentas dan pelbagai jenis pertandingan mulai 14 – 18 Mei 2008.

Disediakan Oleh : Lizza Imelia M. Sulanah, Cawangan Media dan Komunikasi Korporat, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia

_____________________________

Kerajaan Malaysia telah menetapkan tarikh 15 Mei sebagai Hari Belia Negara dan Majlis Sambutan/Perhimpunan pada hari tersebut adalah merupakan Program Induk Kementerian. Majlis Perhimpunan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan ini diadakan dengan menekankan kepada penglibatan masyarakat dan belia dalam aktiviti keilmuan dan kemasyarakatan khususnya seperti khemah kerja, khidmat masyarakat dan gotong-royong bersama pemimpin-pemimpin utama negara. Di peringkat negeri pula akan diadakan biasanya pada minggu ke 3 atau ke empat dalam bulan Mei dengan berpandukan konsep yang sama.
Tujuan utama program ini diadakan adalah:-
  • Untuk menyemarakkan belia-belia dengan program-program kegemaran mereka dan bagi melahirkan sensitiviti dan komitmen belia-belia dan masyarakat pada tarikh 15 Mei.
  • Untuk memberikan publisiti dan pengiktirafan yang lebih meluas terhadap pemimpin-pemimpin kanan kerajaan dan masyarakat belia dalam melaksanakan program-program pembangunan belia ke arah pembangunan negara.
  • Untuk mewujudkan belia-belia yang berilmu dan bermaklumat dengan memperbaharui ikrar dan tekad ke arah pembangunan diri dan negara sebagai asas kepada pemimpin masa depan.
  • Untuk memberi kesedaran kepada golongan belia bahawa kerajaan mengambil berat tentang peranan mereka di dalam membangunkan negara ini.
____________________________

Tiada ulasan: