Sejak 12 Julai 2006, apabila Israel diberi laluan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush untuk menyerang Lebanon atas alasan menghapuskan gerila-gerila Hizbullah, apakah gunanya kita bercakap tentang perpaduan umat Islam?
Setelah Perang Iran-Iraq (1982-88) apabila umat Islam berpecah (kerana komplot musuh), setelah Perang Teluk Pertama (1990-91) apabila orang Arab berpecah (dengan sesetengah menyebelahi musuh), dan setelah Perang Teluk Kedua (April, 2003 hingga sekarang) apabila pemimpin Arab-Islam yang ulung untuk menentang pakatan anti-Islam AS-Inggeris-Zionis dijatuhkan dengan bantuan orang Arab dan orang Islam sendiri, tidak ada makna kita bercakap tentang perkara itu.
Lebih awal, mari kita balik kepada penubuhan negara kolonial-Zionis Israel di Palestin selepas Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Apakah syarat-syarat yang membolehkan negara ini ditubuhkan di tengah-tengah negara-negara Arab-Islam? Lebih awal lagi, mari kita kaji sejarah orang-orang Yahudi dan Kristian dan mengapa mereka bekerjasama untuk memusuhi umat Islam dan menghancurkan Islam.
Jangan sangka kita berputus asa untuk melawan dan mengalahkan pakatan AS-Inggeris-Zionis sekarang? Tidak. Kita tidak pernah takut dan gentar kepada apa yang dikatakan adikuasa militer yang terkuat dalam sejarah manusia. Kita tahu kuasa tidak ada pada besi yang tidak boleh berfikir! Kuasa terletak pada akal, tetapi bukan semata-mata pada akal (kerana komplot Bush-Blair juga ada sedikit akal – yang jahat!).
Kuasa sebenar terletak pada akal yang bermoral, yakni Tuhan Yang Maha Berkuasa. Inilah makna ayat Quran yang memproklamirkan bahawa kekuatan itu milik Allah semata-mata. (Lihat Quran, 10: 65) Sejarah tamadun manusia dari dulu hingga sekarang membuktikan kebenaran perisytiharan ini.
Jangan kita buat silap bahawa Empayar AS-Inggeris-Zionis ini akan kekal. Dua generasi dalam sejarah atau 60 tahun (umur empayar ini) sangat pendek. Jangankan dua generasi; sepuluh generasi (300 tahun) pun masih pendek! Quran menerangkan bahawa apabila Kiamat berlaku, penghunian dunia oleh manusia berlangsung hanya selama sehari atau separuh hari!
Kita tidak harus sangsi bahawa kebenaran akan menang dan kepalsuan akan hapus. Gerombolan samseng-samseng dunia yang dipimpin oleh Bush akan kalah dan akan terhapus dari muka bumi ini dalam sekejap masa lagi. Kapal Titanic, yang mereka naiki sekarang, yang mereka sangka tidak akan tenggelam, akan tenggelam. Kapal itu sekarang, pada waktu kita menulis ini, sebahagian besarnya sudah bocor dan akan tenggelam! Ini diakui oleh beberapa orang ahli ekonomi dan politik Barat sendiri.
Lebih baik kita bertanya di mana kita telah buat silap dan perbetulkan. Pertama, kita orang Islam, dari zaman awal, sebelum Nabi Muhammad, malah sebelum Nabi Ibrahim, diperintahkan oleh Tuhan supaya berpegang teguh kepada agama tauhid, iaitu agama yang mengiktiraf dan menyembah satu Tuhan saja, Tuhan Yang Esa. Tetapi hanya sesetengah daripada kita yang berpegang kepada agama tauhid ini sekarang dan mereka terdiri daripada orang Islam dan orang bukan Islam juga, sedangkan kebanyakan telah menyeleweng daripada agama tauhid ini.
Komplot
Apabila Nabi Muhammad bangkit di Semenanjung Arab, setelah Nabi Musa dan Nabi Isa, sesetengah mereka (yang disebut Ahlul-Kitab dalam Quran) menolak Nabi Muhammad dan membuat komplot untuk merosak dan menjatuhkan Islam. Baca Quran dan sejarah awal Islam di bawah Nabi Muhammad dan kita akan tahu tentang komplotan ini. Apa yang berlaku kemudiannya sehingga hari ini – dari Perang Salib hingga Perang Anti-Keganasan yang diisytiharkan oleh George W. Bush – tidak lain ialah ulangan daripada sifat anti-Islam satu golongan Ahlul-Kitab ini. (Penting kita sebutkan “satu golongan”, kerana bukan semua orang Yahudi, Kristian dan agama-agama lain telah masuk ke dalam komplot jahat ini. Hal ini telah dijelaskan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 62 dan ayat-ayat lain yang sama maknanya.)
Kita tidak harus lupa bahawa wujud orang-orang Islam sendiri yang telah menjadikan kuasa-kuasa musuh ini sebagai kawan dan sekutu mereka. Perang terhadap negara republik Iraq dan penaklukannya oleh pakatan AS-Inggeris-Zionis pada April, 2003 tidak boleh berlaku, jika sesetengah negara Arab dan Islam tidak membenarkan wilayahnya digunakan oleh pakatan penceroboh ini untuk berbuat demikian. Inilah sebab utama pencerobohan pakatan Yahudi-Kristian terhadap Islam dan umat Islam telah berjaya - perpecahan dalam umat Islam sendiri.
Jika kita bertanya apakah punca perpecahan umat Islam, jawapannya ialah penyelewengan kita sendiri. Seperti yang termaktub dalam ayat 30 Surah Al-Furqan, kita membelakangkan Quran dengan membacanya tanpa faham dan menjadikannya sebagai buku azimat. Kita tidak mengikut perintah Tuhan supaya bersatu dan tidak berpuak-puak dan kita memecahkan ilmu kepada ilmu agama dan ilmu dunia serta mengabaikan ilmu dunia. Fahaman tauhid yang bertunjangkan kesatuan pandangan hidup tauhid bertukar menjadi jamak fahaman berdasarkan puak. Kita masuk perangkap syaitan dan kaum penjajah yang menjalankan dasar dan taktik klasik “pecah-pecahkan dan perintah” dan kita menjadi lemah, hina dan ditindas oleh mereka.
Apakah yang patut kita buat sekarang? Kata pepatah, “Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.” Pangkal jalan kita ialah Tuhan Yang Esa. Kita bermula dengan Dia, dan kita akan berakhir dengan Dia. Berbalik kepada Tuhan Yang Esa bermakna berpegang kepada Kitab Suci-Nya yang akhir, iaitu Quran. Inilah keperluan kita yang pokok sekali. Perkara-perkara lain, yang kita pegang juga selama ini, berdasarkan fahaman kepuakan masing-masing, (tidak kira bangsa, agama, falsafah atau ideologi) harus kita letak pada tempat nombor dua kepada Kitab Suci ini.
Apabila kita sudah sanggup berbuat demikian, bermakna kita akan tunduk kepada Tuhan Yang Esa saja dan tidak kepada patung-patung selain Allah. Atas dasar ini, kita boleh menyatukan bukan saja orang Islam, tetapi juga orang bukan Islam (Yahudi, Kristian, Hindu, Buddhis, Konfusius, Shinto, Bahai dan lain-lain), mengikut perisytiharan ayat 62, Surah Al-Baqarah tadi. Dari perspektif ini, seluruh dunia akan menerima saranan kita, kerana saranan ini benar-benar universal.
Umat Islam, sebagai umat yang terbaik yang dibangkitkan untuk manusia (persis kerana fahaman tauhid ini), mestilah mendahului umat-umat lain, untuk melakukan perjuangan ini. Kita tidak perlukan bilangan ramai. Sepertimana Nabi Muhammad bermula dengan bilangan yang kecil, demikian juga kita sekarang. Yang perlu ialah pegangan tauhid, perpaduan yang kukuh dan semangat perjuangan yang tinggi. Kita sedang melihat kejatuhan AS di Iraq dan di AS sendiri. Kemenangan yang dilaungkan oleh Bush setahun kemudian itu kosong semata-mata!
Senjata nuklear di tangan negara atau negara-negara Islam, yang sangat ditakuti oleh Israel dan kuasa-kuasa nuklear Barat, cuba disekat oleh mereka daripada diperoleh oleh negara-negara lain, khasnya Islam (lihat kes-kes Libya, Iraq dan sekarang Iran) melalui pakatan Perjanjian Anti-Rebakan. Namun demikian, Pakistan sudah pun mempunyai senjata ini. Jika pemimpin-pemimpin Islam tiga puluh tahun dulu memberi keutamaan kepada perpaduan umat Islam serta membangunkan ekonomi dan pertahanan mereka dari segi falsafah politik-ekonomi Islam, dunia tidak akan melihat kacau-bilau agung yang memuncak pada hari ini dengan kemaharaja-lelaan kaum oligarki AS-Inggeris di bawah pentadbiran dua Bush.
Tiada gunanya kita menyesali apa yang sudah berlalu. Kita harus berfikir apa yang harus kita buat sekarang dan akan datang. Kita perlu ada dua rancangan: Rancangan jangka pendek (1-5 tahun dari sekarang) dan rancangan jangka panjang (untuk 30 tahun akan datang). Kita kena kenal pasti punca-punca kelemahan kita dan bertindak membetulkannya. Kita kena kenal pasti musuh dan kawan kita dan bersatu untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan kita. Akhir sekali, kita kena memainkan peranan kita untuk memimpin dunia keluar dari kegelapan Zaman Jahiliah moden ini kepada satu Zaman Kebangkitan yang baru - kepada sebuah dunia baru yang adil, aman dan bahagia untuk semua manusia.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan